Sunday, December 16, 2012

PBS: NUTP minta PBS dikaji, diteliti semula

KUALA LUMPUR 15 Dis. - Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) meminta Kementerian Pelajaran mengkaji dan meneliti semula sistem pentaksiran berasaskan sekolah (PBS) supaya tidak membebankan guru-guru sehingga mengganggu proses pembangunan akademik dan kokurikulum pelajar.

Presidennya, Hashim Adnan berkata, pihaknya tidak menghalang pelaksanaan PBS tetapi usaha penambahbaikan perlu dilakukan segera bagi memastikan keberkesanan sistem baharu itu.
Jelasnya, perkara itu memandangkan terlalu banyak pentaksiran perlu dilakukan terhadap sukatan mata pelajaran tanpa mengambil kira kecukupan masa yang diperuntukkan.
"Pentaksiran perlu dibuat dalam semua mata pelajaran yang mempunyai banyak topik, malah aktiviti jasmani, sukan dan kokurikulum turut dinilai dari segi penglibatan dan pencapaian pelajar.
"Masa yang terhad amat menyukarkan guru-guru menilai pelajar dalam kesemua topik menyebabkan sebahagian tajuk tidak dapat disampaikan kepada pelajar," katanya dalam sidang akhbar selepas mesyuarat NUTP di Hotel Vistana di sini hari ini.
Tambahnya, masalah itu wujud kerana tiada keseragaman antara sukatan mata pelajaran yang disediakan Bahagian Pembangunan Kurikulum dan pentaksiran berdasarkan skema pemarkahan Lembaga Peperiksaan.
Hashim berkata, situasi itu bukan sahaja memberi tekanan kepada guru untuk membuat petaksiran malah mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran.
"Sistem baharu yang diperkenalkan seharusnya membantu guru-guru meningkatkan tahap pengetahuan serta kebolehan pelajar berfikir secara kreatif dan kritis.
"Namun, perkara sebaliknya berlaku apabila guru-guru terpaksa memperuntukkan banyak masa untuk memeriksa, merekod dan melaporkan pentaksiran berdasarkan tugasan dan skema pemarkahan," katanya.
Sehubungan itu, Hashim berkata, kajian dan perbincangan berterusan perlu dilakukan antara NUTP dengan Lembaga Peperiksaan dan Bahagian Pembangunan Kurikulum dalam memastikan keberkesanan sistem tersebut.
Sementara itu, Setiausaha Agung NUTP, Lok Yim Pheng menyuarakan kekesalan terhadap tindakan Jabatan Pelajaran Perak yang memohon semua sekolah mengadakan aktiviti gotong-royong hari ini.
Jelasnya, pemilihan tarikh aktiviti yang dijalankan pada pertengahan waktu cuti sekolah itu adalah tidak sesuai malah membebankan guru.
"Pada musim cuti sekolah, sudah tentu guru mempunyai program lain seperti bercuti dan mengadakan kenduri yang dirancang lebih awal.
"Namun, guru-guru diminta kembali ke sekolah semata-mata menjalankan aktiviti gotong-royong yang dilakukan hanya sehari," katanya.
Beliau menambah, pihak jabatan seharusnya merancang lebih awal sebelum membuat sesuatu keputusan mengadakan program di samping memilih tarikh bersesuaian.-Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment