Sunday, December 25, 2011

CUEPACS lega 5 isu berbangkit selesai

Pertemuan dengan JPA jelas kekeliruan timbul

KUALA TERENGGANU: CUEPACS lega apabila lima isu berbangkit membabitkan hak perundingan bersama, isu penyelarasan gaji dan dasar pemisah atau exit policy dan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) berjaya diselesaikan dalam satu perundingan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kelmarin.

Sehubungan itu, JPA akan memberi taklimat khas secara menyeluruh kepada CUEPACS, Selasa ini yang dijangka disampaikan Ketua Pengarahnya, Tan Sri Abu Bakar Abdullah di Putrajaya kepada Majlis Kongres CUEPACS dan ketiga-tiga Majlis Bersama Kebangsaan (MBK) di bawah JPA yang akan membabitkan penyertaan 140 wakil jabatan.
Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman, berkata pertemuan yang mengambil masa empat jam kelmarin berjalan dalam suasana mesra dan JPA memahami hasrat CUEPACS yang mewakili kepentingan 1.4 juta penjawat awam khususnya berkaitan opsyen SBPA yang sebelum ini ditetapkan sehingga 31 Disember ini.

Katanya, perjumpaan itu diadakan bagi memberi penjelasan berikutan ada beberapa kekeliruan terhadap SBPA yang berbeza maklumat serta taklimat di antara JPA dan CUEPACS kepada kakitangan awam.

Beliau berkata, pada pertemuan itu, CUEPACS gembira apabila JPA juga bersetuju membuat semakan semula terhadap 250,000 kakitangan awam dalam kumpulan gred 17 yang tidak berubah.

“CUEPACS dengan JPA tidak ada perbalahan cuma kita kesal kerana ketika proses menyediakan SBPA, CUEPACS tidak dijemput bersama untuk memberi pandangan.
“Namun, kita lega semuanya dapat diselesaikan dengan baik termasuk semakan segera kakitangan awam kumpulan gred 17 seperti di Jabatan Kastam Diraja Malaysia (KDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Imigresen membabitkan pembantu tadbir dan perkeranian yang gred mereka tidak berubah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Persidangan Perwakilan Tri Tahunan ke-24 Kesatuan Kebangsaan Kakitangan Pihak Berkuasa Tempatan (ANULAE) Semenanjung Malaysia yang dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Abdul Rahin Mohd Said di sini, semalam.

Omar berkata, taklimat Abu Bakar itu dijangka menyelesaikan segala kekusutan yang berbangkit sebelum ini dan diharap ketua jabatan tidak menekan kakitangannya supaya menandatangani segera borang opsyen SPBA.

Bagaimanapun, beliau mengulangi pendirian CUEPACS menolak sebarang pengambilan orang luar yang bukan dalam perkhidmatan awam berkhidmat dalam sektor berkenaan.

“Kita tetap membantah polisi ini kerana kita hanya mahu orang dalam perkhidmatan awam saja mengisi jawatan tertinggi dalam sektor awam,” katanya. -Utusan




Tuesday, December 20, 2011

ASB umum dividen 8.8%

PNB mengumumkan agihan pendapatan ASB sebanyak 7.65 sen seunit dan bonus 1.15 sen seunit yang berakhir 31 dis 2011. Buku pelaburan boleh dikemaskini mulai 3 dis 2012.

Monday, December 19, 2011

Tangguh SBPA-CUEPACS



Omar Osman (dua dari kanan) menunjukkan siaran akhbar mengenai bantahan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam kepada sebahagian penjawat awam di Kuala Lumpur, semalam. Turut kelihatan, Timbalan Presiden CUEPACS, Azih Muda (kanan). - BERNAMA


KUALA LUMPUR 18 Dis. - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) meminta kerajaan menangguhkan pelaksanaan sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang akan berkuat kuasa 1 Januari depan.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, pihaknya mahu CUEPACS diberi hak untuk turut sama dalam perundingan mengenai pelaksanaan skim tersebut.

"Kami sangat kecewa kerana kerajaan dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) tidak langsung mengadakan rundingan dengan CUEPACS sebelum menggubal dan melaksanakan SBPA.

"Tidak seperti sebelum ini, kami sentiasa diberi peluang untuk turut terlibat dalam rundingan sebelum sesuatu skim untuk kakitangan awam dilaksanakan," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Bantahan SPBA di sini, hari ini.

Omar menegaskan kerajaan seharusnya memastikan setiap kakitangan perkhidmatan awam yang berjumlah 1.4 juta orang menerima maklumat tepat dan mendalam sebelum menerima opsyen pelaksanaan SBPA.

"Ini kerana, pegawai JPA yang membuat taklimat mengenai SPBA kepada kakitangan awam memberi maklumat berbeza-berbeza mengenai skim tersebut.

"Oleh itu, CUEPACS akan mengutarakan beberapa perkara mengenai SPBA yang dilihat mengelirukan kakitangan awam pada pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, 22 Disember ini," katanya.

Jelas Omar, pada pertemuan itu nanti, CUEPACS juga akan membawa isu mengapa kesatuan itu tidak diberi peluang untuk turut sama dalam perundingan bersama-sama JPA sebelum skim itu dilaksanakan.

"Selain itu, tempoh opsyen yang singkat dan kenaikan gred gaji yang berbeza-beza akan dibincangkan pada pertemuan tersebut," katanya.

Omar sekali lagi menasihatkan penjawat awam agar menunggu keputusan pihaknya pada perbincangan yang akan diadakan bersama Najib sebelum menerima SBPA.-Utusan

Saturday, December 17, 2011

Chong Wei Kalah Lagi...

KUALA LUMPUR – Datuk Lee Chong Wei perlu menilai semula peluangnya meraih pingat emas Sukan Olimpik 2012, jika kekalahan terbaru kepada Chen Long dalam separuh akhir Kejohanan Badminton Siri Super Masters Akhir di Liuzhou, China semalam, diambil kira.

Pertarungan epik antara kedua-dua pemain yang berlanjutan sehingga satu jam 20 minit itu menyaksikan Chong Wei kecundang 21-16 16-21 21-18 kepada pemain No. 3 dunia tersebut.

Ia merupakan kekalahan ketiga bagi Chong Wei kepada Chen Long dalam empat pertemuan terakhir yang juga termasuk Terbuka Jepun dan Terbuka Denmark, dua bulan lalu.

Justeru, ia adalah satu perkembangan kurang enak ditelan tatkala saingan temasya London 2012 hanya berbaki tujuh bulan lagi dengan Chong Wei kini perlu mencari idea merobohkan bukan satu, tetapi dua tembok besar China.

Jika pada awal tahun ini tumpuan hanya diberikan kepada seterunya, Lin Dan, namun keadaan itu tidak sama lagi kerana kemunculan Chen Long yang prestasinya meningkat mendadak pada suku ketiga tahun ini, pastinya merumitkan lagi impian Chong Wei merangkul emas Olimpik.

Pada usia 29, Chong Wei menunjukkan yang dia tidak kurang hebatnya berbanding Chen Long, 22, dari aspek daya ketahanan dan stamina.

Malah, Chong Wei sebenarnya tidaklah beraksi hambar, tetapi telah tewas kepada lawan yang lebih mantap dan berada pada kemuncak prestasi.

Cuma apa yang menghampakan jaguh kita itu adalah kegagalannya mengekalkan fokus, sama ada menyerah mata-mata mudah kepada lawan angkara kesilapan sendiri serta membiarkan lawan mengejar dan sekali gus memintasnya.

Misalnya pada set pertama, Chong Wei dilihat selesa pada kedudukan 14-10, namun tercicir empat mata berikutnya sehingga menjadi titik tolak untuk pemain yang mendapat sokongan padu penyokong tuan rumah itu menang 21-16.

Chong Wei bangkit dengan aksi lebih bertenaga untuk menang 21-16 dan mengheret perlawanan ke rubber game, namun kecuaian awal menghadiahkan tiga mata percuma kepada Chen Long dilihat menjadi titik kejatuhannya.

Chen Long kemudiannya dua kali melebarkan kedudukan mata pada 10-5 dan 14-9, namun berjaya dirapatkan Chong Wei secara berperingkat sehingga mengikatnya 18-18.

Kebangkitan Chong Wei bagaimanapun tersekat pada angka 18, sebaliknya Chen Long kekal tenang dan meningkatkan rentak permainan untuk melengkapkan kemenangan 21-18.

Kekalahan tersebut bermakna Chong Wei, selaku juara Siri Super Masters Akhir sebanyak tiga kali, tidak kesampaian merebut gelaran keempat berturut-turut hari ini.

Chen Long akan bertemu Lin Dan, yang mudah menewaskan Peter Hoeg Gade 21-12, 21-15 dalam satu lagi pertembungan separuh akhir bagi perlawanan penentuan juara.-Utusan

18/12/2011:SBPA: 'Tunggu sehingga kami jumpa PM' -CUEPACS

SHAH ALAM 17 Dis. - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menggesa kakitangan awam tidak menandatangani surat opsyen menerima skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) sehingga wakil mereka bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, satu pertemuan dengan Najib akan diadakan pada 22 Disember ini di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya dekat sini bagi meluahkan kekecewaan mereka mengenai kelemahan skim baru itu.

Beliau berkata, dalam pertemuan dengan Perdana Menteri itu nanti, pihaknya akan memaklumkan mengenai beberapa kelemahan yang terdapat dalam SBPA kerana ia dibimbangi menganiayai kakitangan awam.

"Saya yakin Perdana Menteri sendiri pun tidak tahu wujudnya kelemahan dalam pengenalan skim ini kerana tidak diberi penjelasan terperinci oleh pihak yang sepatutnya bertanggungjawab menerangkan kepada beliau dan kami yakin beliau akan faham dengan masalah kami.

"Justeru, kami menggesa setiap kakitangan awam supaya tidak menandatangani surat opsyen menerima skim berkenaan sehingga kami selesai pertemuan dengan Perdana Menteri," katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan Dwi Tahunan Kali Ke-11 Kesatuan Sekerja Kakitangan Makmal (KSKM) di Hotel Carlton Holiday di sini hari ini.

SPBA diumumkan oleh Najib pada pembentangan Bajet 2012 Oktober lalu yang menjanjikan skim gaji lebih baik berasaskan merit serta kenaikan tahunan di antara RM80 dan RM300.

Omar berkata, menerusi SBPA mereka yang menerima markah kurang daripada 70 selama tiga tahun berturut-turut selepas dibuat penilaian oleh pegawai mereka akan dinasihatkan untuk bersara awal.

"Ini hanya akan mewujudkan budaya bodek pegawai dan selepas ini kita akan lihat ramai kakitangan sokongan keluar untuk minum teh tarik bersama pegawai mereka di kantin pejabat supaya mereka akan dinilai dengan markah yang baik setiap tahun.

"CUEPACS bukan menolak cadangan untuk mewujudkan kakitangan awam berprestasi tinggi tetapi kami yakin ada cara lain untuk menentukannya," jelasnya.

Sementara itu, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr S.Subramaniam ketika ditemui pemberita di Seri Kembangan hari ini berkata, CUEPACS perlu menjelaskan secara lebih terperinci kepada kerajaan berhubung rasa tidak puas hati terhadap SBPA supaya ia dapat ditangani secepat mungkin.

Beliau berkata, perbincangan lanjut dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) merupakan antara cara terbaik dalam membantu kerajaan mengambil langkah yang dapat menggembirakan semua pihak.

"Tujuan kerajaan ialah untuk membuat penambahbaikan dan peluang tambahan kepada anggota perkhidmatan awam, tetapi kalau ini mendatangkan isu, CUEPACS kena jelaskan kepada kerajaan supaya perkara itu boleh ditangani dan semua orang puas hati," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Antarabangsa Dr Ambedkar di Seri Kembangan hari ini.-Utusan

Wednesday, December 14, 2011

15/12/2011: Pemuda syor tangguh lantikan kontrak GSTT

MEGAT FIRDOUZ (dua dari kanan) pada sidang media       berkaitan isu  GSTT di ibu negara, semalam.
MEGAT FIRDOUZ (dua dari kanan) pada sidang media berkaitan isu GSTT di ibu negara, semalam.
KUALA LUMPUR: Pemuda UMNO meminta kerajaan menangguhkan tarikh menandatangani tawaran pelantikan guru sandaran tidak terlatih (GSTT) kepada guru kontrak melalui 'kontrak berdasarkan perkhidmatan' pada hari ini ke tarikh lain kerana isu membabitkan 8,000 GSTT di seluruh negara itu masih belum selesai.

Ia ekoran keputusan Kementerian Pelajaran menukar status lantikan GSTT yang mengisi jawatan gred DG41 di sekolah sedia ada kepada lantikan secara kontrak berdasarkan perkhidmatan, menyebabkan guru terbabit dibayar mengikut jumlah hari bekerja atau maksimum RM2,331 sebulan tanpa kemudahan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Penolong Setiausaha Pemuda UMNO, Datuk Megat Firdouz Megat Junid, berkata pergerakan itu juga meminta kementerian melupuskan pemulangan semula perbezaan gaji diterima guru GSTT dari Oktober hingga Disember melebihi RM3,400 yang sepatutnya dibayar guru terbabit jika menerima lantikan kontrak baru itu.
“Kita minta kerajaan tangguh surat aku janji dan tawaran sepatutnya mereka tandatangan esok (hari ini). Kebanyakan GSTT hanya tahu (diberi taklimat) kontrak baru itu minggu lalu sedangkan surat pekeliling tawaran pelantikan GSTT kepada pelantikan kontrak berkuat kuasa 17 Oktober lalu.

“Kami juga minta kerajaan buat kajian semula (struktur) gaji dibayar kepada guru kontrak kerana jumlah maksimum gaji dibayar (RM2,331), termasuk Sabtu, Ahad dan cuti umum. Ini bermakna, gaji mereka akan kurang sebab Sabtu, Ahad dan cuti umum tidak bekerja, kecuali ada aktiviti di sekolah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Pemuda UMNO di Menara Dato’ Onn di sini, semalam.

Sidang media itu dihadiri kira-kira 40 guru sandaran tidak terlatih sekitar Lembah Klang yang diketuai Pengerusi Badan Bertindak GSTT, Mohd Shamil Mohd Nor.

Sumber: Berita Harian Online

JADUAL GAJI GURU BARU DI BAWAH SBPA MULAI TAHUN 2012