Monday, December 31, 2012

Kereta semakin murah?

Preve yang dijual dalam harga kira-kira RM60,000 memberi pilihan kepada pengguna mendapatkan kereta dengan ciri-ciri moden dengan harga sederhana.
PERANG harga kereta di Malaysia kini semakin rancak dengan lebih banyak tawaran di bawah nilai RM80,000 sebuah bagi model sedan atau kompak bukan nasional yang pastinya mampu memberi tamparan hebat kepada pengeluar kereta tempatan.
Di Malaysia, kereta yang mampu memuatkan sehingga lima penumpang dalam satu-satu masa merupakan pilihan paling popular kerana budaya masyarakat yang suka beriadah dan pulang ke kampung bersama keluarga.
Oleh itu, perang harga, tawaran spesifikasi moden dan pakej perkhidmatan selepas jualan tertumpu kepada model-model kereta jenis berkenaan.
Sebelum ini, agak sukar untuk pengguna memperoleh tawaran kereta bukan nasional di bawah tanda harga RM80,000 tetapi bermula tahun ini, ia seperti menjadi trend baharu pengeluar kereta untuk mengecilkan nilai berkenaan demi memikat hati pelanggan.
Tahun lalu kereta bukan nasional dengan kuasa enjin 1.5L hingga 1.8L secara purata melebihi RM80,000 sebuah, manakala buatan tempatan sekitar RM50,000 hingga RM60,000 sebuah.
Namun selepas pelancaran Preve awal tahun ini dengan spesifikasi menyamai kereta bukan nasional yang bernilai RM100,000 ke atas telah mengubah landskap harga kereta di pasaran tempatan.
Harga Preve serendah RM59,540 sebuah telah memberi tekanan kepada kereta sedan lain yang cukup terkenal seperti Vios, City, Civic, Altis dan Elantra.
Kesannya, pengeluar kereta seperti Honda, Toyota, Ford, Hyundai dan Kia telah mula mengeluarkan model-model baharu yang mampu milik dan versi naik taraf (facelift) dengan tawaran pelbagai aksesori dan gajet baharu tanpa menaikkan harganya.
Perodua juga telah mengumumkan semua kenderaan baharunya akan dimuatkan dengan dua beg udara tanpa sebarang kenaikan harga.
Nissan pula telah meningkatkan lagi tekanan ini menerusi model Almera dengan tanda harga yang cukup berbaloi iaitu serendah RM66,800 sebuah.
Terbaharu, Chevrolet melancarkan kereta terbaharu Sonic dengan tanda harga yang menarik iaitu bermula dari RM76,888 sebuah.
Tidak ketinggalan, Mitsubishi telah mempertaruhkan model kompak terbaharu iaitu Mirage dengan harga serendah RM55,328 sebuah.
Walaupun dalam kategori kompak, Mirage dilihat mampu memberi tekanan kepada model paling laris di Malaysia iaitu Myvi kerana menawarkan harga dan saiz yang hampir sama.
Setelah tidak lagi dipilih sebagai rakan strategik Proton, Mitsubishi telah menyuarakan hasrat membangunkan kilang pemasangan tempatannya di sini tahun hadapan dan ini pasti mampu memberi impak positif kepada penawaran harga apabila beroperasi kelak.
Tidak dinafikan bahawa kereta baharu yang dilancarkan ketika ini menawarkan kuasa enjin yang lebih rendah, tetapi beberapa ramai yang peduli?
Faktor utama pemilikan kereta ketika ini adalah keselesaan, kualiti, kesesuaian serta penjimatan dan bukan lagi kuasa dan kelajuan seperti dahulu.
Tekanan demi tekanan yang muncul setiap bulan sepanjang tahun ini perlu dilihat dari sudut positif kerana pulangannya kepada pelanggan cukup bernilai tetapi dalam masa yang sama perkara ini boleh 'memeningkan' pengeluar kereta nasional.
Contohnya, jualan Perodua telah mencatatkan penurunan pada November dan Disember 2012 berikutan kehadiran Almera dan Mirage di pasaran tempatan.
Diharapkan persaingan sihat seperti ini dapat diteruskan pada tahun depan dengan tawaran lebih banyak kereta di bawah tanda harga RM80,000 dan pengguna akan lebih tersenyum lebar jika had tersebut berlegar sekitar RM50,000 sebuah.
Bagi pengeluar kereta tempatan, persaingan ini perlu dilihat sebagai cabaran baharu yang perlu ditempuhi dengan menawarkan produk yang mampu menawan hati pembeli dan bukannya terus mengharap bantuan daripada kerajaan.
Alangkah indahnya jika kerancakan persaingan harga kereta tempatan sama seperti persaingan harga yang ditawarkan syarikat-syarikat telekomunikasi ketika ini.

No comments:

Post a Comment